
BINTULU: Sebanyak 2,232 kes kemalangan jalan raya direkodkan di daerah Bintulu sepanjang tempoh Januari hingga 18 Disember 2025, dengan 41 kes daripadanya melibatkan kemalangan maut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu, DSP Mohd Fazri Yusof berkata, jumlah itu menunjukkan kemalangan maut menyumbang sebanyak 1.84 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut beliau, statistik tersebut menuntut tahap pematuhan undang-undang jalan raya yang lebih tinggi dalam kalangan pengguna, khususnya ketika musim perayaan.

“Berdasarkan catatan dan siasatan yang dibuat, sebanyak 2,232 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Bintulu sepanjang Januari hingga 18 Disember 2025, dengan 41 kes melibatkan kemalangan maut, iaitu 1.84 peratus daripada keseluruhan kes,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Hari Krismas 2025 yang diadakan di Kampung Jepak di sini, hari ini.
Menurut Mohd Fazri, program advokasi berkenaan dilaksanakan dengan penglibatan tujuh agensi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika memandu serta mematuhi peraturan jalan raya.
Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna jalan raya agar memandu dalam keadaan sihat, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mengelakkan perbuatan berisiko seperti memotong di garisan berkembar dan memandu secara berbahaya.

Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya, termasuk dari luar daerah yang memasuki Bintulu, supaya saling menghormati antara satu sama lain dan mengutamakan keselamatan bagi mengurangkan risiko kemalangan sepanjang musim perayaan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan dan Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey.
Oleh Carolyne Utih