22,141 peminat ‘botak’ bantu Pitbull cipta Rekod Dunia Guinness

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PENYANYI rap Amerika Syarikat (AS), Pitbull, bergambar bersama sijil Rekod Dunia Guinness selepas mencipta rekod bagi himpunan terbesar individu yang memakai topi botak sebelum konsertnya di festival BST Hyde Park di London pada 10 Julai 2026. Foto AFP

LONDON, United Kingdom: Penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Pitbull, mencipta Rekod Dunia Guinness pertama bagi perhimpunan terbesar individu yang memakai topi botak.

Seramai 22,141 peminat memakai topi botak di Hyde Park, London, pada Jumaat sebelum menyaksikan persembahan beliau di festival British Summer Time (BST).

Ramai daripada mereka turut menggayakan elemen lain yang sinonim dengan imej penyanyi itu, termasuk sut, cermin mata hitam aviator dan jambang palsu berwarna gelap.

“Memecahkan rekod, mencipta rekod, mencipta sejarah,” kata artis hip hop berusia 45 tahun itu sebelum menerima sijil pengiktirafan daripada Rekod Dunia Guinness.

“Terima kasih London, terima kasih kepada para peminat, terima kasih Hyde Park dan terima kasih kepada semua yang memakai topi botak,” katanya sambil bergurau ketika suhu di ibu negara Britain itu mencecah 31 darjah Celsius.

ORANG ramai yang memakai topi botak berkumpul di bawah sinaran matahari sebelum konsert penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Pitbull, di Hyde Park, London, pada 10 Julai 2026. Sebelum persembahan itu, percubaan rasmi bagi mencipta Rekod Dunia Guinness untuk himpunan terbesar individu yang memakai topi botak diadakan. Foto AFP

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menjadi trend bagi peminat untuk berpakaian seperti Pitbull ketika menghadiri konsertnya.

“Saya rasa saya memakai topi botak itu terlalu awal,” kata pelajar berusia 21 tahun, Connie McGovern, kepada AFP.

“Saya tidak boleh menanggalkannya sekarang kerana rambut dan solekan saya sudah rosak, jadi saya perlu terus memakainya.”

Adiknya, Ella, 23, berkata dia gembira dapat menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu.

“Kami akan mencipta sejarah hari ini,” katanya.

Pitbull ialah individu pertama yang mencuba rekod itu di bawah pengesahan rasmi Rekod Dunia Guinness, sekali gus bermakna tiada rekod terdahulu untuk diatasi.

Bintang kelahiran Miami itu terkenal menerusi lagu-lagu hit seperti Fireball, Timber, Time Of Our Lives dan On the Floor. – AFP

Ribuan meriahkan Konsert Rakyat SKS Sibu

SIBU: Dataran Tun Tuanku Bujang bertukar gamat apabila ribuan pengunjung membanjiri Pentas Utama bagi menyaksikan Konsert Rakyat sempena Program Sarawakku