22 saman dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu IPD Lubok Antu

Facebook
WhatsApp
OPERASI Bersepadu Pencegahan Jenayah IPD Lubok Antu yang dilaksanakan di Lebuh Raya Pan Borneo Sarikei-Sri Aman dekat Engkilili, hari ini. Foto IPD Lubok Antu

LUBOK ANTU: Sebanyak 22 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan polis sepanjang Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu yang dilaksanakan di Lebuh Raya Pan Borneo Sarikei-Sri Aman dekat Engkilili, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin berkata operasi yang berlangsung dari 11.00 pagi hingga 4.00 petang itu bertujuan memperkukuh usaha mencegah jenayah, membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah serta memastikan pematuhan undang-undang lalu lintas.

Beliau berkata operasi bersepadu itu diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Inspektor Nelson Ensit, dengan penglibatan seramai 22 anggota pelbagai pangkat daripada beberapa cawangan di IPD Lubok Antu.

Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan sebagai langkah proaktif bagi menurunkan kadar jenayah indeks di samping meningkatkan kehadiran polis di lokasi strategik yang menjadi tumpuan pengguna jalan raya.

Selain mengeluarkan 22 saman, pihak polis turut menjalankan pemeriksaan terhadap 115 kenderaan pelbagai jenis serta 120 individu menerusi sekatan jalan raya yang didirikan sepanjang operasi tersebut.

DSP Pricha berkata tindakan penguatkuasaan itu bukan sahaja bertujuan mengesan pelanggaran undang-undang lalu lintas, malah membantu mengesan sebarang kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah yang boleh mengancam keselamatan awam.

Beliau berkata IPD Lubok Antu akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa sebagai usaha berterusan memastikan pematuhan undang-undang serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, pihak polis kekal komited melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan bagi menjamin tahap keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat di Daerah Lubok Antu sentiasa terpelihara.

Oleh Adi Safarman