
LIMBANG: Sejumlah 22 premis perniagaan di sini terpilih untuk menyertai Pertandingan Premis Bersih 2.0.
Wakil Pengerusi Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Rahim Bujang berkata Pertandingan Premis Bersih inisiatif bersepadu MDL untuk memastikan setiap pengusaha mengambil peranan proaktif meningkatkan mutu kebersihan secara konsisten.
“Dengan pertandingan ini, pihak MDL mengiktiraf usaha gigih pengusaha yang bukan saja menjalankan perniagaan, tetapi juga menjaga amanah kesihatan komuniti.
“Biarlah gelaran ‘Premis Bersih’ ini menjadi tanda aras kualiti yang dibanggakan,” katanya pada Majlis Pelancaran Sempena Pertandingan Premis Bersih 2.0 MDL hari ini.
Rahim optimis pertandingan itu menjadi indikator dan penanda aras berterusan kepada pengusaha untuk meningkatkan kebersihan ke Gred A atau pensijilan kesihatan yang diiktiraf.
Pada program itu, Program Tanpa Styrofoam, Tanpa Plastik Sekali Guna dan Tanpa Penyedut Plastik turut dilancarkan.
Inisiatif ini adalah langkah proaktif untuk mengurangkan sisa pencemaran plastik yang membanjiri tapak pelupusan dan mencemarkan sungai.
Oleh Adeng Edrus