SARIKEI: Sebanyak 22 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) menyertai Gerak Kerja KRT Sihat: Sukan Perpaduan KRT Daerah Sarikei di Kompleks Sukan Integrasi, Kampung Baru Seberang Sarikei semalam.
Hadir merasmikan majlis penangguhan sukan itu adalah Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab.
Katanya, objektif sukan itu diadakan adalah bagi menyemai amalan sihat dan cergas dalam kalangan masyarakat.
“Walaupun kita mungkin sudah berumur, ia tidak menjadi halangan untuk terus cergas.
“Sekarang ini, kesihatan adalah sangat penting, kadangkala ia lebih bernilai daripada wang ringgit. Tidak berguna jika kita ada banyak wang dalam bank jika kesihatan kita tidak terjaga.
“Antara satu cara yang boleh menimbulkan amalan sihat dalam kalangan kita adalah melalui sukan,” katanya.
Sementara itu, johan keseluruhan untuk Sukan Perpaduan tersebut adalah KRT Kampung Baru, dengan hadiah piala pusingan.
Naib johan dimenangi KRT Taman Susur Jambu Fasa II, manakala tempat ketiga dimenangi KRT Taman Tiong Batu.
Oleh Earl Anek
Gambar
JOHAN….Johan keseluruhan Sukan Perpaduan KRT Daerah Sarikei, KRT Kampung Baru menerima piala pusingan dan hadiah yang disampaikan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab.