KUCHING: Rakyat di negeri ini perlu ingat betapa peritnya pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) hingga banyak projek pembangunan dibatal dan ditangguhkan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ketika itu Sarawak tidak berdiam diri meskipun dilakukan sedemikian rupa hingga kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengeluarkan dana sendiri untuk meneruskan projek terbabit.
“Kita bukan calang-calang. Kalau dicabar kita akan lawan. Selepas PRU-14 (2018), mereka (PH) henti dan batalkan projek orang Sarawak. Kita tidak diam, kita lawan.
“Pembinaan jambatan dibatalkan, pembangunan sekolah dilambatkan. Mereka meminta Sarawak untuk membayar hutang, kononnya. Dia cabar saya, kita sendiri yang bina jambatan jika mereka tidak mahu bina jambatan.
“Dia cabar saya untuk bayar hutang dahulu, tiada sistem yang memerlukan orang untuk membayar dahulu, kerja itu ‘Paloi’.
“Tetapi kita dicabar untuk membayar, jadi kita bayar RM1 bilion demi rakyat kita di luar bandar yang berkehendakkan sekolah yang baik dan perjuangan ini tidak akan berakhir begitu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda GPS di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, hari ini.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, Sarawak merupakan komponen penting dalam pembentukan sebuah Kerajaan Persekutuan.
Katanya, ia dapat dilihat ketika kejatuhan Kerajaan PH di mana GPS diperlukan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, dengan sokongan GPS akhirnya mengabsahkan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri kelapan.
Beliau menegaskan sokongan yang diberikan GPS adalah demi rakyat yang mahukan kerajaan stabil dan bertanggungjawab.
Sehubungan itu, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), GPS meletakkan calon di semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak.
Katanya, GPS akan meneruskan peranan sebagai komponen yang strategik dan penting dalam negara.