SAMARAHAN: Sebanyak 218 surat hak milik tanah Seksyen 18 dan 13 Kanun Tanah Negeri serta cek pampasan bernilai keseluruhan RM19.3 juta diserahkan kepada penduduk Samarahan dalam satu majlis di Dewan Seminar INTAN Samarahan, hari ini.
Daripada jumlah itu, 218 surat hak milik tanah Seksyen 18 diberikan kepada 173 penerima dari Kampung Entingan, Kampung Nangka, dan Kampung Sri Tajo.
Selain itu, 156 surat hak milik tanah Seksyen 13 diserahkan kepada 123 penerima dari Kampung Mang untuk kegunaan pertanian.
Cek pampasan pula melibatkan dua projek pembangunan utama di kawasan Samarahan, iaitu Skim Pembesaran Kampung (SPK) Gedong dan Projek 275KV Kuching Network Reinforcement, dengan nilai keseluruhan RM19.28 juta yang diserahkan kepada 164 penerima.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan hak rakyat terhadap tanah NCR terus dipelihara.
“Kerajaan Sarawak tidak akan mengambil tanah rakyat secara percuma. Segala pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan dilakukan berlandaskan undang-undang, dan pampasan yang diberikan ditaksir berdasarkan saiz, nilai semasa tanah, serta apa-apa struktur dan tanaman di atasnya,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kerajaan sentiasa memastikan hak rakyat terhadap tanah NCR terus dilindungi.
Menurut beliau, Program Pengukuran Tanah NCR, yang diperkenalkan sejak 2010, telah menyukat secara perimeter lebih 1.17 juta hektar tanah NCR di seluruh negeri, dengan 924,596 hektar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera.
“Setakat 30 November 2024, penyukatan lot individu pula berjaya mengukur 97,903 lot melibatkan kawasan seluas 114,169 hektar.
“Daripada jumlah itu, 32,061 lot telah dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat mendapat hak milik yang sah, tanpa dikenakan sebarang caj penyukatan.
Katanya lagi, semua ini merupakan usaha dan jaminan kerajaan negeri terhadap hak rakyat terutamanya melibatkan tanah NCR.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar penerima memanfaatkan tanah yang diberikan untuk pembangunan ekonomi dan kesejahteraan keluarga.
Oleh Shahrul Qaizat