
SIBU: Seramai 215 peserta terdiri daripada guru tadika, prasekolah, pegawai kesihatan dan ahli terapi menghadiri seminar perkembangan dan perlindungan kanak-kanak di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Program tersebut merupakan anjuran Hospital Sibu dan Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu dengan sokongan Universiti Nottingham serta Pusat Agape.
Penyelaras program yang juga Pakar Pediatrik, Profesor Dr Toh Teck Hock berkata seminar itu memberi fokus kepada dua aspek utama, iaitu perkembangan dan perlindungan kanak-kanak, yang boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kehidupan mereka.
“Masalah perkembangan dan perlindungan kanak-kanak boleh memberi impak besar terhadap kesihatan mereka apabila dewasa, termasuk risiko penyakit kardiovaskular, strok, kemurungan, kebimbangan, bunuh diri serta penyalahgunaan bahan.
“Sebab itu, kita perlu membina asas yang kukuh sejak awal bagi memastikan kesejahteraan mereka terjamin,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan seminar berkenaan yang disempurnakan oleh Pegawai Kesihatan Sibu, Dr Teh Jo Hun.
Dr Toh yang juga Ketua Pusat Kajian Klinikal (CRC) Hospital Sibu berkata, peningkatan kes eksploitasi kanak-kanak dalam talian dan pembulian siber perlu mendapat perhatian serius semua pihak.
“Hari ini, akses kepada dunia digital semakin mudah dan risiko penyalahgunaan terhadap kanak-kanak juga semakin meningkat.
“Oleh itu, semua pihak, termasuk guru dan pegawai kesihatan, perlu sentiasa mempertingkatkan kemahiran serta pengetahuan bagi menangani kes sebegini,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan pembuat dasar bagi memastikan perlindungan kanak-kanak dilakukan secara menyeluruh.
Katanya, intervensi awal amat penting dalam mengenal pasti ibu bapa yang memerlukan sokongan bagi mencegah isu penderaan kanak-kanak daripada menjadi lebih serius.
Dalam pada itu, Dr Toh turut mengingatkan media agar memainkan peranan lebih proaktif dalam menyebarkan maklumat berkaitan perlindungan kanak-kanak.
“Media perlu lebih sensitif dalam menyampaikan berita dan memastikan mereka membantu dalam usaha melindungi kanak-kanak, terutama dalam era digital ini,” katanya.
Oleh Tarani Lanting