


SIBU: Sebanyak 212 penagih dadah di daerah ini telah didakwa di mahkamah selepas ditahan polis dalam Ops Tapis Narkotik yang dijalankan sepanjang tempoh sebulan sejak awal Oktober lepas, manakala 10 lagi penagih masih direman bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata kumpulan penagih berkenaan yang berusia lingkungan 20-an hingga 40-an didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya, serta pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B akta sama,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata operasi itu akan diteruskan bagi mengesan penagih dadah yang masih aktif dan bebas sekali gus membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini.
“Tiada kompromi terhadap mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” tegasnya.
Zulkipli berkata sejak Ops Tapis Narkotik dilaksanakan pada 6 Okt lepas, sebanyak 246 kes berkaitan dadah turut didakwa di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3), Seksyen 39C(1) ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Masyarakat boleh menyalurkan maklumat mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah melalui talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) 012-2087222 (Bukit Aman) dan 017-59292211 (JSJN Sarawak) atau melalui mana-mana balai polis berhampiran.- Bernama