

LATIHAN… Peserta berpeluang belajar mengendalikan alat pemadam api. Foto BBP Bintangor
BINTANGOR: Seramai 212 murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Wong telah menyertai program kesedaran keselamatan kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program anjuran SK Batu Wong dengan kerjasama pihaknya dijalankan dari 9.00 pagi hingga 11.30 pagi dan dikendalikan oleh enam anggota bomba, baru-baru ini.
“Antara pengisian aktiviti ialah latihan pengungsian bangunan, demonstrasi pemadaman menggunakan alat pemadam api (APA), ceramah kesedaran keselamatan kebakaran dan pameran peralatan bomba bagi memberi pemahaman mendalam kepada peserta.
“Pendedahan awal seperti ini penting bagi mendidik murid dan guru supaya lebih bersedia menghadapi sebarang insiden kebakaran.
“Ia dapat membantu warga sekolah mengenali bahaya kebakaran, memahami cara menyelamatkan diri dan menggunakan peralatan asas seperti alat pemadam api dengan betul,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, katanya, pengungsian bangunan juga memberi keyakinan kepada murid untuk bertindak tenang dan teratur sekiranya berlaku kecemasan sebenar.
“Pendidikan keselamatan kebakaran perlu bermula sejak di sekolah kerana murid merupakan kumpulan yang paling mudah terdedah kepada risiko sekiranya tidak dibimbing.
“Program ini turut memberi peluang kepada peserta mendekati dan mengenali peralatan bomba yang digunakan dalam operasi menyelamat, sekali gus meningkatkan pemahaman tentang peranan bomba dalam melindungi keselamatan awam,” katanya.
Oleh Earl Anek