OVIEDO (Sepanyol): Sekurang-kurangnya 211 mayat ditemukan setakat ini dalam apa yang disifatkan Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez pada Sabtu sebagai “bencana alam terbesar dalam sejarah Sepanyol.”
Ribut kuat mencetuskan banjir dahsyat pada Selasa, dengan Wilayah Valencia paling teruk terjejas.
Agensi Anadolu semalam melaporkan, Sanchez mengakui beberapa kawasan masih terputus hubungan dengan rumah dan garaj masih tertutup serta puluhan orang masih hilang.
“Saya sedar tindak balas ini belum mencukupi. Saya tahu terdapat masalah serius: perkhidmatan asas runtuh, kawasan perbandaran ditenggelami lumpur, orang ramai terdesak mencari ahli keluarga mereka, … kita perlu melakukan lebih baik,” katanya dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen dari Madrid.
Beliau mengumumkan tambahan 5,000 anggota tentera akan dikerahkan menjelang Ahad, menjadikannya penglibatan tentera terbesar sewaktu aman dalam sejarah negara.
Kerajaan juga menghantar kapal besar yang dilengkapi unit kediaman dan kemudahan perubatan ke Pelabuhan Valencia, selain menghantar rumah mayat bergerak, konvoi bantuan kemanusiaan, dan petugas untuk memulihkan perkhidmatan asas seperti jalan raya, elektrik, dan air.
Seramai 10,000 anggota polis turut ditempatkan di kawasan terlibat menjelang Ahad.
Menurut Sanchez, pasukan penyelamat menyelamatkan 4,800 orang dan membantu lebih 30,000 penduduk di rumah mereka.
“Tetapi skala besar bencana ini menjadikan angka-angka itu tidak mencukupi. Bantuan mengambil masa yang lama untuk sampai ke tempat yang diperlukan,” tambahnya.
Sementara itu, ribuan sukarelawan membanjiri kawasan yang terjejas sejak beberapa hari lepas, membawa makanan, air, dan penyodok untuk membantu membersihkan lumpur.
Pada Sabtu, kerajaan wilayah mengharamkan kebanyakan perjalanan kereta di sekitar kawasan terjejas dan menubuhkan pusat untuk mengurus ribuan sukarelawan, menurut Agensi Anadolu.
Bagi ramai yang terjejas, kejutan akibat banjir bertukar menjadi kemarahan.
Kritikan utama tertumpu mengapa kerajaan wilayah menunggu sehingga banjir menjadi parah sebelum mengeluarkan amaran kecemasan ke telefon bimbit dan mengapa bantuan mengambil masa lama untuk tiba di kawasan hanya beberapa kilometer dari Valencia, satu daripada bandar terbesar di Sepanyol.
Di tengah-tengah kemusnahan yang meluas, kekecewaan awam semakin memuncak, dengan ramai mengkritik pihak berkuasa tempatan kerana amaran kecemasan dan bantuan yang lewat ke kawasan berhampiran.
Beberapa ahli politik pembangkang mempersoalkan mengapa kerajaan pusat tidak mengisytiharkan darurat untuk mempercepatkan usaha tindak balas, manakala yang lain menunjukkan kemungkinan kelemahan agensi meteorologi Sepanyol, walaupun kawasan itu berada di bawah amaran merah pada Selasa.
“Akan tiba masa untuk menganalisis kesilapan, merenung cara untuk memperbaiki tindak balas kita terhadap situasi ekstrem seperti ini, pentingnya perkhidmatan awam, perlunya menghormati penasihat saintifik, dan realiti perubahan iklim,” kata Sanchez.
Tetapi sekarang kita perlu bertindak sebagai satu negara bersatu. Musuh tunggal adalah kemusnahan akibat bencana ini, dan kita mesti bersatu kerana risiko nyawa ramai rakyat, maruah mereka yang terkorban, prestij negara kita, dan masa depan seluruh kawasan perbandaran.”
Sanchez menjangkakan setelah semua kerosakan dinilai, ini mungkin menjadi banjir terburuk di Eropah pada abad ini.
Selain tragedi manusia, kerosakan infrastruktur di kawasan itu sangat teruk.
Landasan kereta api, jambatan, terowong, sebahagian lebuh raya utama, dan berkilometer jalan raya musnah. Longgokan kereta dan serpihan masih berselerakan di bandar-bandar dan kawasan persekitaran. Kawasan perindustrian, pusat beli-belah, dan rumah turut musnah. – Bernama – Anadolu