
Bangkai bas yang terjunam ke dalam gaung yang mengorbankan 21 orang di Sri Lanka. Foto AFP.
COLOMBO: Sekurang-kurangnya 21 orang maut dan lebih 35 lagi cedera apabila sebuah bas terjunam ke dalam gaung di Wilayah Tengah Sri Lanka pada Ahad, menurut laporan media tempatan.
Memetik akhbar Daily Mirror, Anadolu Ajansi melaporkan, lebih 35 penumpang yang cedera dalam nahas dirawat di beberapa hospital di kawasan itu, menurut polis tempatan.
Menurut polis, bas itu membawa 75 penumpang dari tempat suci Kataragama di selatan menuju ke bandar Kurunegala di barat laut apabila ia terjunam 100 meter dari tebing, menurut Free Press Journal.
Siasatan mengenai punca nahas sedang dijalankan, menurut polis.
Nahas jalan raya kerap berlaku di negara kepulauan Asia Selatan itu, dengan data rasmi menunjukkan bas sering terbabit dengan nahas.
Menurut data polis, hampir 600 rakyat Sri Lanka maut dalam 565 nahas jalan raya maut setakat tahun ini.
Menurut data kerajaan yang dipetik oleh Newswire, seorang maut akibat nahas jalan raya setiap tiga jam di Sri Lanka. – Bernama-Anadolu