BEIJING: Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan 15 cedera apabila sebuah bas dalam perjalanan membawa pelajar menduduki ujian kemasukan kolej terjunam dalam sebuah tasik dekat wilayah Guizhou di barat daya China.
Menurut kenyataan Jabatan Pengurusan Kecemasan tempatan, kemalangan waktu tengah hari itu berlaku apabila kenderaan terbabit merempuh penghadang jalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam tasik Hongshan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial menunjukkan bas terbabit terbabas dan melintasi lima lorong sebelum memasuki laluan bertentangan serta merempuh penghadang jalan.
Imej turut memaparkan pasukan penyelamat yang berada di lokasi kejadian sedang bertungkus lumus mengeluarkan kenderaan dari dalam tasik terbabit.
Semua yang cedera dirawat di hospital berhampiran, sementara pihak berkuasa tempatan memberi jaminan akan menyiasat punca kemalangan itu.
Jabatan Pengurusan Kecemasan Guizhou berkata, lebih 200 orang membantu mengeluarkan mangsa termasuk 55 penyelam profesional. – AFP