ISTANBUL: Seramai 21 orang terselamat daripada tertimbus di bawah serpihan apabila sebuah bangunan dua tingkat runtuh di timur Turki pada Selasa lalu, kata kerajaan, sambil menambah tiada lagi orang dipercayai hilang.
Kejadian itu berlaku di jalan yang sibuk di Bandar Malatya, ketika penduduk memenuhi kedai dalam perjalanan pulang dari kerja.
“Kira-kira 20 orang dipercayai berada di dalam bangunan itu ketika bangunan itu runtuh sejurus sebelum 5.00 petang,” kata Gabenor Wilayah, Aydin Barus.
Tetapi, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Ismail Catakli berkata, pekerja penyelamat telah mengeluarkan 13 orang dari runtuhan, manakala lapan lagi berjaya melarikan diri ketika kejadian.
“Menurut maklumat yang kami ada, tiada lagi orang hilang. Semoga kita tidak mengalami sebarang kejutan buruk,” kata Catakli tanpa menolak kemungkinan satu atau lebih orang masih terperangkap.
Seramai 13 orang dimasukkan ke hospital dengan dua dibawa ke rawatan rapi, kata Barus.
Saksi dan laporan media berkata, bangunan itu runtuh semasa kerja pengubahsuaian yang dirancang yang mengakibatkan kerosakan pada salah satu dinding yang memisahkan dua restoran tingkat bawah.
“Saya mendengar bunyi retakan dahulu dan kemudian bangunan itu runtuh. Kepulan debu muncul. Ia seperti hari penghakiman,” kata saksi, Turhan Cobanoglu kepada televisyen HaberTurk.
Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan kerajaan Turki berkata, 260 pekerja penyelamat dikerahkan ke tempat kejadian bagi membolehkan usaha diteruskan sepanjang malam.
Rakaman Kamera Tertutup (CCTV) runtuhan menunjukkan bangunan itu tiba-tiba runtuh.
Sebuah kereta yang diletakkan di hadapan bangunan itu memecut laju, manakala orang ramai yang lalu lalang bergegas membantu mereka yang terperangkap di bawah runtuhan.
Pengerusi parti pembangkang utama Malatya CHP, Enver Kiraz berkata, “di tingkat satu bangunan itu, terdapat restoran ayam, penjual kacang kering dan kedai roti”.
“Tingkat dua terdapat kedai kopi,” kata Kiraz kepada AFP melalui telefon.
Punca runtuhan masih tidak jelas, tetapi Barus menuding jari pada kerja yang sedang dilakukan pada bangunan itu.
Menurut pejabat pendakwa raya, pemilik bangunan dan tiga orang yang menjalankan kerja itu telah ditahan bagi membantu siasatan.
Barus menggesa penduduk setempat dan pemberita berkumpul di tempat kejadian supaya menjaga jarak bagi membantu penyelamat mengesan mangsa.
“Pasukan mencari dan menyelamat memerlukan keadaan senyap untuk mendengar jeritan mangsa,” katanya dalam komen di televisyen.
Imej televisyen menunjukkan penyelamat menggunakan penggali pembinaan dan tangan kosong mereka untuk membersihkan kepingan konkrit dan timbunan kayu.
Turki telah digemparkan dengan beberapa siri bencana, termasuk gelombang kebakaran hutan dan dua banjir kilat yang meragut sekitar 100 nyawa tahun ini.
Presiden Recep Tayyip Erdogan berada di bawah tekanan politik yang sengit apabila muncul pada Ogos bahawa Turki tidak lagi mempunyai pesawat pemadam kebakaran yang berfungsi.
Banjir kilat yang membawa maut memusnahkan rumah di lembah gunung dan mencetuskan persoalan mengapa pegawai meluluskan lesen pembinaan untuk kawasan yang terdedah kepada kejadian cuaca ganas?
Pejabat Erdogan berkata, pemimpin Turki itu juga membuat panggilan kepada gabenor dan datuk bandar tempatan untuk menerima maklumat terkini mengenai kerja menyelamat di kawasan kejadian. -AFP