
BINTANGOR: Seramai 21 pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor yang memperoleh keputusan memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 telah menerima insentif daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Menurut Ding, pemberian insentif itu merupakan tanda penghargaan atas usaha gigih para pelajar serta dorongan kepada mereka untuk terus cemerlang.
“Tahniah dan syabas kepada SMK Bandar Bintangor kerana berjaya mengekalkan pencapaian cemerlang dalam keputusan SPM setiap tahun.
“Usaha seperti ini wajar diteruskan, dan peranan guru amat penting dalam membentuk kejayaan pelajar,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan insentif berkenaan, semalam.
Beliau berkata, insentif yang disampaikan bukan sekadar ganjaran kepada pelajar, tetapi juga sebagai motivasi kepada pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5 untuk terus berusaha mencapai keputusan peperiksaan yang membanggakan dalam menghadapi peperiksaan SPM yang akan datang.
Dalam majlis sama, Ding turut mengumumkan akan membantu pihak sekolah dalam pemasangan peralatan pembelajaran seperti LCD di bilik-bilik darjah bagi menyokong pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang lebih berkesan.
Turut hadir, Pengetua SMK Bandar Bintangor, Patrick Philip Moss.
Oleh Earl Anek