
SARIKEI: Sebanyak 21 pasukan dari Kuching hingga Bintulu berhimpun di Stadium Bola Keranjang Taman Susur Jambu bagi memeriahkan Kejohanan Tarian Singa Selatan Tradisional Sarikei 2025 yang berlangsung selama dua hari.
Kejohanan anjuran Persatuan Buddha Ortodoks Sarikei itu bermula semalam hingga hari ini sebagai usaha berterusan memperkasa seni dan budaya masyarakat Cina, selain memupuk semangat perpaduan dalam komuniti setempat.




CENDERAMATA….Pasukan bertanding menerima cenderamata dari Pemanca Chan Phan Chan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata pertandingan tersebut memberi impak besar terhadap pembinaan jati diri dan karakter generasi muda.
“Melalui pertandingan ini, generasi muda dapat mempelajari budaya tradisional, di samping menggalakkan semangat bekerjasama, disiplin dan ketekunan.
“Pertandingan ini bukan sekadar pentas pertandingan semata-mata, tetapi turut menjadi wadah terbaik memupuk nilai murni serta kerjasama erat antara peserta.

“Ia adalah satu platform yang mampu membentuk karakter anak muda dan mengukuhkan budaya tempatan,” katanya.
Tiong Sii berkata demikian menerusi teks ucapan perasmian yang dibacakan oleh wakilnya, Pemanca Chan Phan Chan, malam tadi.
Beliau turut berharap penganjuran program kebudayaan yang melibatkan golongan muda akan terus diperkasakan dari masa ke masa.
“Saya berharap acara budaya seperti ini dapat diteruskan dan diperkembangkan supaya lebih ramai anak muda dapat menyertai serta melestarikan budaya tradisional masyarakat Cina.
“Sokongan padu masyarakat dan pertubuhan tempatan amat diperlukan bagi memastikan warisan tarian singa kekal terpelihara serta terus diminati generasi akan datang,” katanya.
Tambahnya, tarian singa bukan sahaja melambangkan seni persembahan, tetapi turut membawa nilai simbolik yang mencerminkan kekuatan dan keharmonian masyarakat.



MENARIK….Antara persembahan menarik dari pasukan yang bertanding untuk sesi malam tadi.
“Tarian Singa bukan hanya persembahan, tetapi simbol keberanian, kekuatan dan perpaduan masyarakat.
“Pertandingan seperti ini dapat merapatkan hubungan antara kaum dan mengeratkan perpaduan dalam komuniti tempatan,” katanya lagi.
Sementara itu, antara pasukan yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini ialah pasukan Tarian Naga dan Singa Persatuan Buddha Ortodoks Sarikei, pasukan Tarian Singa Sekolah Menengah (SM) Ming Lik, Kelab Tarian Singa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei, pasukan A Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Chien serta pasukan B SJKC Kwang Chien.
Turut serta ialah Kelab Tarian Naga dan Singa Liang Sheng, Kuching, Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina Kuching, Jee Sheng Lion & Dragon Dance Association Bau Sarawak, pasukan SM Guong Ming, Kelab Tarian Naga dan Tarian Singa Guong Ming Alumni Sungai Bidut, serta Kelab Tarian Singa dan Naga Sheng Heng.
Kejohanan ini turut disertai oleh Persatuan Tarian Naga dan Singa Hong Teck Kuching, Persatuan Tarian Naga dan Singa Jing Ying Kuching, pasukan Tarian Singa Persatuan Klan Cheng Sri Aman, pasukan A Persatuan E-Xin Tarian Naga dan Singa, Bintulu serta pasukan B Persatuan E-Xin Tarian Naga dan Singa, Bintulu.
Turut mengambil bahagian ialah Persatuan Seni Mempertahankan Diri (Quan Shu) Bahagian Sibu, pasukan A Serian Wu Ze Xian Shi Temple Lion Dance Troupe, pasukan B Serian Wu Ze Xian Shi Temple Lion Dance Troupe, Persatuan Vui Neng Bahagian Bintulu dan pasukan Tarian Singa Xian Chi Tang, Kuching.
Oleh Earl Anek