
GEDONG: Hujan berterusan yang melanda kawasan Gedong sejak Jumaat memaksa seramai 21 mangsa banjir daripada lima Ketua Isi Rumah (KIR) dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Gedong bagi menjamin keselamatan mereka.
PPS berkenaan dibuka pada 12.00 tengah hari, semalam, susulan peningkatan paras air yang menjejaskan kediaman penduduk di Kampung Patinggi Muai dan Kampung Sungai Girang.
Setakat 9.00 pagi ini, dua mangsa daripada satu KIR di Kampung Patinggi Muai telah ditempatkan di PPS, manakala 19 mangsa daripada empat KIR di Kampung Sungai Girang turut mendapatkan perlindungan di pusat sama.

Daripada keseluruhan mangsa, majoritinya melibatkan golongan dewasa dan kanak-kanak, termasuk seorang bayi, sekali gus mencerminkan keperluan bantuan dan pemantauan rapi, khususnya dari aspek kebajikan serta kesihatan.
Bagi memastikan kebajikan mangsa terpelihara, PPS tersebut digerakkan dengan kerjasama pelbagai agensi melibatkan seramai 17 petugas daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Jabatan Sukarelawan (RELA).
Sehingga kini, keadaan di PPS Dewan Masyarakat Gedong dilaporkan terkawal dan selamat, dengan semua mangsa menerima keperluan asas yang mencukupi.
Pihak berkuasa akan terus memantau perkembangan semasa dan menyalurkan maklumat terkini dari masa ke semasa selaras dengan situasi banjir di kawasan terlibat.