
BEKENU: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus hari ini menyerahkan sebanyak 21 ekor lembu korban sempena sambutan Aidiladha yang bakal diraikan esok kepada wakil masjid dan surau serta kampung.
Majlis penyerahan berkenaan berlangsung di Masjid Al Muttaqin, di sini.
Bercakap pada majlis penyerahan itu, Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, ibadah korban bukan sahaja melambangkan ketaatan kepada Allah SWT, malah menjadi medium memperkukuh semangat perpaduan, kesatuan dan budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat.

“Aidiladha bukan sekadar perayaan, ia satu penghayatan terhadap nilai pengorbanan, keikhlasan dan kepedulian.
“Kita berharap sumbangan ini bukan sahaja membolehkan ibadah korban dilaksanakan, malah dapat memeriahkan sambutan Aidiladha di kawasan masing-masing, di samping memastikan daging korban diagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Wakil Rakyat N.71 Bekenu, mantan Kaunselor Sulaiman Ahmad berkata pihaknya menggerakkan wakil-wakil dari enam masjid, tiga surau dan 10 kampung bagi membantu proses penyerahan lembu korban, khususnya ke masjid dan surau yang terlibat.
“Pelaksanaan ibadah korban akan dilakukan oleh ahli jawatan kuasa masjid, surau dan kampung masing-masing. Kita hanya menyerahkan sumbangan, manakala proses penyembelihan dan pengagihan daging korban akan dilaksanakan oleh pihak terbabit,” katanya.
Oleh Adum Liu