JAKARTA: Seramai 207.1 juta pengundi dijangka keluar mengundi pada Pilihan Raya Serentak (Pilkada) 2024 di Indonesia hari ini, yang bakal menentukan kepimpinan di 545 kawasan meliputi 37 wilayah, 415 daerah dan 93 bandar.
Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) melaporkan bahawa jumlah pengundi antara lelaki dan Wanita hampir seimbang, dengan 103.2 juta lelaki dan 103.9 juta wanita layak memilih pemimpin wilayah termasuk gabenor, bupati dan datuk bandar atau wali kota.
Sebanyak 435,296 pusat pengundian disediakan di seluruh negara bagi memastikan kelancaran proses pengundian.
Penganalisis politik menggariskan beberapa pemilihan gabenor berprofil tinggi menjadi tumpuan utama terutamanya di Jawa Tengah, Sumatera Utara dan Jakarta, dengan keputusan pilihan raya itu dijangka memberi impak besar terhadap lanskap politik negara.
Di Sumatera Utara, persaingan sengit berlaku antara Bobby Nasution, datuk bandar Medan dan menantu bekas Presiden Joko Widodo, yang bergandingan dengan Surya, serta Edy Rahmayadi yang bekerjasama dengan Hasan Basri.
Sementara itu, di Jawa Tengah menyaksikan saingan antara Andika Perkasa, bekas jeneral bintang empat yang disokong PDIP, bersama Hendrar Prihadi, bekas datuk bandar Semarang dengan Ahmad Luthfi, bekas ketua Polis Jawa Tengah dan Taj Yasin Maimoen.
PDIP atau Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan dipimpin oleh pengerusinya, Megawati Sukarnoputri.
Di Jakarta, yang dianggap sebagai medan strategik, bekas Gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil bertanding bersama Suswono, manakala Pramono Anung disokong oleh Rano Karno.
Kerajaan Indonesia memperuntukkan Rp 28.76 trilion (AS$1.8 bilion) bagi proses pilihan raya kali ini, manakala Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu) menerima peruntukan sebanyak Rp 8.63 trilion (AS$540 juta) untuk memastikan integriti dan kelancaran pilihan raya. – Bernama