SPAOH: Pelbagai pembangunan sedang rancak dibangunkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban termasuk Pekan Spaoh yang bakal mengubah landskap di daerah kecil itu.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, sebahagian projek pembangunan infrastruktur dan pertanian yang menjana pendapatan akan datang, ada yang sudah dan bakal dilaksanakan.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Cek Pampasan Tanah kepada seramai 201 penerima di Dewan Masyarakat Spaoh, dekat sini hari ini.
Bayaran pampasan tanah berjumlah RM8.591 juta kepada 201 penerima yang tanahnya telah diambil alih untuk empat projek utama.
Pampasan sebanyak RM7,345,322 adalah untuk 126 pemilik tanah yang terjejas oleh pembangunan Taman Agro Bebuling serta Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan pembungkusan.
Uggah berkata Taman Agro ini merupakan pendekatan baharu kerajaan untuk melatih dan mempopularkan konsep pertanian moden di mana teknologi dan jentera termasuk dron akan digunakan untuk memaksimumkan pengeluaran.
“Di Taman Agro Bebuling ini kita akan menggunakan sekitar 60 hektar untuk membina rumah hijau. Kita mengalu-alukan bekas pemilik tanah antara lain menyertai program di sana.
“Kita juga mempunyai projek lapangan terbang landasan pendek (STOLport) Bebuling yang akan siap pada Ogos tahun depan yang akan menjadi pintu masuk kami untuk memasarkan produk kami dengan segera,” katanya.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menambah, adalah menjadi objektif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membolehkan penduduk luar bandar berpendapatan rendah menambah pendapatan melalui pertanian moden.
“Sarawak telah diiktiraf sebagai wilayah berpendapatan tinggi tetapi kita mahu rakyat kita terutama mereka yang berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan mereka,” tambahnya.
Beliau juga berkata, selain Taman Agro Bebuling ini, Spaoh serta Kabong dan Beladin masing-masing akan mendapat pusat hemodialisis.
“Kementerian Kesihatan (KKM) telah memberi kelulusan kepada kami untuk menubuhkannya. Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) akan membiayai projek itu dengan kos RM5 juta setiap satu.
“Kita percaya apabila siap ia nanti, akan mengurangkan barisan panjang harian di Hospital Betong atau Hospital Sri Aman. Dan sekali lagi, KKM juga telah memberi kita kelulusan untuk membina klinik kesihatan baharu dan moden di Spaoh bagi menggantikan klinik lama sedia ada. Kita telah mengenal pasti tapak yang akan turut menempatkan pusat hemodialisis.
“Mengenai kos yang terlibat, ini masih ditentukan. Dan kita berharap pembinaan mereka dapat dimulakan tidak lama lagi,” katanya.
Mengenai perkara lain, beliau menambah Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak akan membina kilang padi untuk menempatkan pesawah di kawasan penanaman padi Tanjung Sebekut.
Kawasan ini, katanya, telah dikenal pasti sebagai salah satu kawasan jelapang padi negeri Sarawak.
“Dengan mesin, teknologi baharu dan benih yang baik, kita berharap dapat menuai lapan tan sehektar setiap musim,” jelasnya.
Uggah berkata, rakyat berperanan dalam menjayakan semua usaha ini sementara kerajaan terus menyediakan infrastruktur, kemudahan dan pembiayaan.
Turut hadir, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong Moris Nayup dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB) Dr Harry Entebang.
Oleh Adi Safarman