
KUCHING: Sebanyak 20,000 unit rumah baharu akan dibina di seluruh Sarawak dalam tempoh lima tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, melibatkan pelbagai kategori serta lokasi termasuk projek sambungan kampung dan pembangunan oleh agensi kerajaan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pelaksanaan itu turut disokong dengan kemudahan pembiayaan serendah satu peratus melalui Kewangan Mutiara bagi membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.
Menurutnya, pendekatan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan lebih ramai rakyat, khususnya golongan B40 dan M40, berpeluang memiliki rumah dengan kos yang lebih berpatutan.
“Kerajaan bukan sahaja mahu membina lebih banyak rumah, tetapi memastikan rakyat mampu memilikinya melalui pembiayaan yang lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Terbuka Mutiara di Bangunan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Wisma Sultan Tengah, di sini hari ini.
Tambah beliau, pembangunan perumahan itu dilaksanakan di seluruh Sarawak dan tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja, bagi menangani ketidakseimbangan agihan rumah akibat penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa skim pembiayaan Kewangan Mutiara menawarkan kadar satu peratus bagi golongan B40 dan tiga peratus bagi M40, jauh lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa.

Katanya, kemudahan itu turut membantu golongan yang berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman daripada bank, termasuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Matlamat kita adalah memastikan mereka yang benar-benar memerlukan dapat memiliki rumah, bukan sekadar menambah jumlah pembinaan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri memberi penekanan terhadap kualiti perumahan dengan memastikan setiap unit dilengkapi kemudahan asas yang selesa dan sesuai untuk didiami dalam jangka panjang.
Sehubungan itu, beliau berharap segala inisiatif yang dilaksanakan dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh pembangunan perumahan yang inklusif di Sarawak.
Oleh Adele Rissa