SIBU: Sebanyak 2,000 sampel akan diambil daripada penduduk Sibu Jaya yang menjalani ujian calitan Covid-19 secara besar-besaran di Pasar Tamu Sibu Jaya di sini, semalam.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Sibu, Mohd Nor Akmal berkata, mereka percaya jumlah itu dapat dicapai berdasarkan jumlah orang yang menjalani pemeriksaan serupa di Stadium Tertutup Sibu sebelum ini.
“Kira-kira 1,000 orang menjalani ujian yang sama di Stadium Tertutup Sibu pada 12 Januari lalu. Kami berharap, cuaca akan terus baik kerana kita tidak mahu mereka berbaris panjang dalam keadaan hujan,” katanya kepada pemberita, semalam.
Menurutnya, ujian calitan tersebut hanya dijalankan sehari sahaja, bermula 9.00 pagi hingga 1.00 petang.
“Tetapi, jika orang yang datang masih ramai, kita mungkin akan melanjutkan sehingga lewat petang,” tambahnya.
Menurutnya lagi, kira-kira 30 kakitangan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu, termasuk pasukan bantuan dari Sarikei dan Samarahan ditugaskan untuk mengendalikan ujian saringan tersebut.
Sementara itu, Menteri Muda Kesihatan Awam, Dr. Annuar Rapa’ee menerusi hantaran di Facebook miliknya menyeru penduduk Sibu Jaya supaya tampil untuk menjalani ujian saringan Covid-19 lebih awal.
“Bagi penduduk yang belum datang, mohon datanglah awal. Bersama kita bekerjasama membantu pihak KKM mengesan kes-kes jangkitan di Sibu Jaya.
“Terima kasih kepada yang tampil membuat saringan pagi ini,” katanya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD