SEBUAH keluarga meninggalkan rumah mereka bersama di Ruidoso, New Mexico. • Foto AFP
SANTA FE: Lebih 200 kediaman hangus dijilat api sejak kebakaran hutan yang dinamakan McBride Fire melanda kawasan berhampiran perkampungan Ruidoso di New Mexico Khamis lalu.
Kawasan perkampungan itu merupakan destinasi tumpuan pelancong dari seluruh dunia dan lokasi perlumbaan kuda setiap kali tibanya musim panas.
Sehingga semalam, kebakaran sudah dapat dikawal dan kira-kira 2,306 hektar kawasan musnah.
Kebakaran itu turut meragut dua nyawa pasangan warga emas dan mayat mereka dalam keadaan rentung ditemukan di rumah mereka.
Polis memaklumkan, pasangan itu cuba menyelamatkan diri ketika api menghampiri rumah mereka, namun gagal berikutan api marak dan sesak nafas akibat asap tebal.
Menurut pemantauan pihak berkuasa, keadaan cuaca kering dan panas menyebabkan kebakaran hutan itu sukar dipadamkan sebelum ini.
Selain itu, pihak berkuasa juga membenarkan hampir 5,000 penduduk pulang semula ke rumah masing-masing untuk menilai kerosakan dan kerugian yang dialami akibat kebakaran tersebut.
Sebelum itu, ribuan penduduk diarahkan berpindah segera susulan kebakaran hutan yang sukar dikawal.
“Namun, mereka masih perlu berhati-hati dan tidak menyentuh sebarang objek yang masih terbakar.
“Hal ini kerana masih ada kawasan yang luarnya dilihat tiada api, namun kebakaran masih berlaku di bahagian dalam,” kata jurucakap pihak berkuasa, Wilson Guinn.
Dalam pada itu, pasukan bomba akan terus memantau keadaan sekitar, terutamanya tapak kebakaran yang belum padam sepenuhnya bagi mengelakkan situasi merebak.
Kebakaran hutan itu turut menyebabkan 18,000 penduduk terputus bekalan elektrik sebelum mula disambung secara berperingkat.
Sementara itu, beberapa kawasan lain di seluruh Amerika Syarikat turut terkesan akibat kebakaran hutan, termasuk Texas, Oklahoma dan Colorado. – AFP