Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • 200 petugas kesihatan jamin kesiapsiagaan perubatan semasa Sidang Kemuncak ASEAN
  • SEMASA

200 petugas kesihatan jamin kesiapsiagaan perubatan semasa Sidang Kemuncak ASEAN

Utusan Sarawak 18 hours ago
PENGARAH Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr Nor’Aishah Abu Bakar ketika ditemui Bernama bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Kementerian Kesihatan menugaskan hampir 200 anggota kesihatan bagi memperkukuh kesiapsiagaan perubatan untuk sidang kemuncak itu. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menggerakkan hampir 200 petugas kesihatan bagi memperkukuh kesiapsiagaan perubatan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang berkaitan di sini.

Langkah ini melibatkan pengoperasian bilik rawatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang menjadi lokasi utama sidang kemuncak itu, hotel-hotel penginapan rasmi delegasi serta pemantauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Kesihatan Negeri bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr Nor’Aishah Abu Bakar berkata sebanyak empat bilik rawatan beroperasi di KLCC termasuk satu bilik khas yang disediakan khusus untuk ketua-ketua negara.

“Bilik rawatan turut disediakan di hotel-hotel penginapan bagi membolehkan para delegasi mendapatkan rawatan segera sekiranya menghadapi masalah kesihatan di luar waktu persidangan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Nor’Aishah berkata pasukan kesihatan terdiri daripada pakar perubatan kecemasan dan traumatologi, pegawai perubatan serta paramedik terlatih bersedia di setiap lokasi bagi menangani sebarang situasi kritikal dengan pantas dan cekap.

Sebagai tambahan, empat ambulans turut ditempatkan sepanjang acara berlangsung di KLCC, bagi memastikan pesakit yang memerlukan rawatan lanjutan dapat dihantar ke hospital tanpa kelewatan.

“KKM turut menugaskan pasukan perubatan untuk berada bersama setiap ketua negara yang hadir bagi memastikan bantuan perubatan dapat segera diberikan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Selain aspek perubatan, beliau berkata KKM memainkan peranan penting dalam memastikan aspek keselamatan dan kualiti makanan kepada para delegasi terjaga dengan mengadakan sesi libat urus bersama hotel-hotel terlibat, melakukan pemantauan dan melakukan pensampelan makanan yang akan dihidangkan.

“Pihak KKM juga mengambil inisiatif dengan melakukan pemantauan melibatkan premis-premis makanan berhampiran lokasi persidangan bagi memastikan keselamatan makanan di kawasan berkenaan,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bermula dengan mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan pada hari ini, diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei manakala mesyuarat ketua-ketua kerajaan pula akan bermula pada 26 Mei.

Bersempena dengan sidang itu, turut dijadualkan berlangsung ialah Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.– Bernama

Continue Reading

Previous: Federal recognition of PETROS marks progress under the MADANI Unity Government
Next: Lebih 140 judul buku terbitan Balai Seni Negara di PBAKL 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.