
MIRI: Seramai 200 penerima dari sekitar Miri, termasuk kawasan luar bandar seperti Lambir, menerima sumbangan barangan keperluan harian menerusi Program Petronas Memacu Kehidupan Gawai 2026 yang diadakan di Dewan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM), di sini, hari ini.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata program tersebut membuktikan komitmen berterusan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam membantu meningkatkan kesejahteraan komuniti menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Menurutnya, senarai penerima dikenal pasti menerusi kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang berkelayakan.
“Walaupun sumbangan ini mungkin kelihatan sederhana, saya percaya ia membawa makna yang besar kepada penerima dan keluarga mereka, terutama dalam membantu meringankan beban kos sara hidup serta menyemarakkan kegembiraan sempena musim perayaan.
“Apa yang paling penting bukanlah nilai bantuan semata-mata, tetapi mesej bahawa tiada sesiapa yang harus dilupakan dan setiap anggota masyarakat berhak merasai kegembiraan sempena musim perayaan,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Beliau turut memuji usaha Petronas yang melaksanakan program seumpama ini bukan sahaja sempena perayaan Gawai Dayak, malah ketika sambutan Tahun Baharu Cina di Niah dan Bekenu serta Aidilfitri di Sibuti.
Katanya, pendekatan itu mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat Sarawak yang meraikan kepelbagaian budaya, agama dan kaum.
Dalam pada itu, Lee berkata Miri mempunyai hubungan rapat dengan industri minyak dan gas kerana merupakan lokasi bermulanya industri petroleum negara apabila telaga minyak pertama ditemukan di Bukit Kanada pada tahun 1910.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan masa depan memerlukan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran. Justeru, kerajaan Sarawak terus memberi tumpuan kepada pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta inisiatif pendidikan tinggi percuma di institusi terpilih milik kerajaan negeri yang bermula pada tahun ini.
Lee berharap lebih banyak syarikat korporat tampil memainkan peranan aktif dalam pembangunan masyarakat menerusi program pendidikan, kebajikan, pembangunan belia dan pemerkasaan komuniti demi kesejahteraan rakyat Sarawak.
Oleh Liong Chai Ling