
SIBU: Seramai 200 penduduk dari kawasan Dudong dan Sibu Jaya menghadiri seminar Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dianjurkan oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong dan Sibu Jaya, baru-baru ini.
Seminar yang diadakan di sebuah hotel di sini menampilkan topik berkaitan Faedah dan Promosi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) serta Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong.
Dalam ucapannya, Wong menjelaskan bahawa Perkeso ditubuhkan pada 1 Januari 1971 di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, dengan tujuan menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja serta tanggungan mereka.
“Ramai peserta sering tertanya-tanya: Apakah tujuan Perkeso? Apakah faedahnya untuk pekerja? Bagaimanakah cara menuntut faedah? Dan apakah bezanya Perkeso dengan KWSP?
“Saya bukan pakar Perkeso, tetapi pegawai-pegawai yang hadir hari ini akan memberikan penjelasan yang menyeluruh dan tepat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa seminar kali ini turut menarik kehadiran ramai suri rumah, selari dengan fokus kepada SKSSR.
“SKSSR merupakan satu skim perlindungan sosial yang masih baharu untuk suri rumah. Saya yakin ramai akan mendapat manfaat daripada penjelasan yang diberikan oleh pihak Perkeso,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Pengerusi pengelola program, Mark Tiong, dalam ucapan alu-aluannya berkata, seminar ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap manfaat yang ditawarkan oleh Perkeso.
“Seminar ini membuktikan bahawa apabila agensi kerajaan dan masyarakat berganding bahu, kita mampu menyebarkan kesedaran, pengetahuan dan perlindungan kepada golongan yang sering terpinggir daripada sistem keselamatan sosial, seperti suri rumah, pekerja sendiri dan penjaja kecil,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, William Anut, Pemanca Paing Tawi, Pengerusi SUPP Cawangan Sibu Jaya, Kong Sing Ping serta wakil Pengurus Perkeso Sibu, Awang Abdul Razzaq Awang Kaderi.
Oleh Tarani Lanting