SANTIAGO: Bot nelayan Chile bergabung untuk melakukan protes pada Rabu lalu dengan pegawai tentera laut di Pelabuhan Valparaiso ketika mereka menuntut untuk kembali bekerja di salah satu pelabuhan utama negara itu.
Lebih daripada 200 nelayan dengan kapal berlainan ukuran melakukan demonstrasi di pelabuhan dengan membakar sekurang-kurangnya lima tayar besar yang tergantung di tepi dermaga.
Pegawai Angkatan Laut Chile di kapal peronda yang bertanggung jawab atas keamanan pelabuhan, berusaha memadamkan kebakaran dengan jet air selain turut menyasarkan kapal nelayan dalam usaha meleraikan demonstrasi itu.
“Anggota tentera laut menggunakan peluru getah dan menembak ke arah kapal yang berlainan di lokasi ini,” kata Gabenor Maritim Valparaiso, Nelson Saavedra.
Saavedra mengatakan nelayan bertindak balas dengan melemparkan batu, minyak petrol, bom cat dan cuba menyerang kapal Tentera Laut.
Dalam kejadian itu, penunjuk perasaan mengatakan sekurang-kurangnya tiga daripada mereka cedera.
Para nelayan menuntut kerajaan memenuhi perjanjian untuk membangun dermaga baharu di pelabuhan untuk digunakan.
Para pekerja berharap untuk diberi ganti rugi selama empat tahun ke depan yang mana mereka tidak dapat bekerja dalam tempoh itu,” kata peguam nelayan, Felipe Olea, kepada media tempatan.
Lapan tahun yang lalu, nelayan dipindahkan dari kawasan Pelabuhan Valparaiso yang mana mereka beroperasi kerana pembinaannya dilakukan di sana.
Selain itu, nelayan turut dipindahkan ke bandar pesisir Quintero, 50 kilometer utara Valparaiso.
Pelabuhan Valparaiso, yang terbesar kedua di negara itu memindahkan 9.3 juta tan kargo pada 2019, sementara setiap tahun menerima sekitar 40 kapal pesiar dan 100,000 pelawat. -AFP