
MIRI: Seramai 20 wartawan dari utara Sarawak bakal menghadiri kursus bertemakan “AI dalam Bilik Berita” yang dijadual berlangsung pada 3 Julai depan.
Program ini dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) dengan tajaan daripada Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin.
Presiden NSJA Chai Choon Chin berkata, sambutan awal amat menggalakkan, namun disebabkan kekangan bajet, kursus ini hanya terbuka kepada 20 orang peserta sahaja.
“Kami di persatuan akan terus berusaha mencari penaja agar lebih banyak kursus seperti ini dapat dilaksanakan pada masa hadapan, demi manfaat semua ahli,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Hari Raya dan Pra-Gawai Dayak di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Mengenai majlis ini, tambahnya, ia bukan sahaja menjadi medan perayaan, tetapi juga satu simbol keharmonian serta semangat perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak.
Sehubungan itu, sempena sambutan Hari Wartawan Nasional dan Karnival Sukan Media Zon Utara Sarawak (KASUMeS) baru-baru ini, Dato’ Sri Lee Kim Shin menekankan kepentingan kesihatan fizikal dalam kalangan pengamal media.
“Kata-kata ini telah memberi inspirasi kepada saya untuk mencadangkan satu inisiatif baharu dalam mesyuarat jawatankuasa yang akan datang, iaitu persatuan akan cuba bekerjasama dengan pihak pengurusan gelanggang sukan untuk menaja kos sewa sekali seminggu, manakala peralatan sukan ditanggung sendiri oleh ahli.
“Kita juga boleh menganjurkan perlawanan persahabatan sesama ahli, ia bukan untuk mengejar kejuaraan, tetapi sekadar menyemai minat bersukan dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga media.
“Dalam kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli kita yang telah memenangi pingat dalam kejohanan KASUMeS baru-baru ini, iaitu Jenifer Laeng, Rosemaria Buma, Mohd Syaffuan Zaini, Riza Kasim,” katanya lagi.
Hadir sama Pengurus Projek Kanan Liaw Meng Hon, Artiket Projek Aryton Kong yang turut menyumbang kepada majlis itu.
Oleh Adum Liu