
Foto: Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak
KUCHING: Seramai 20 warga asing ditahan dalam Ops Selera yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sarawak melalui Bahagian Penguatkuasa Kuching di beberapa lokasi sekitar bandar ini.
Operasi tersebut dijalankan susulan aduan awam berhubung kehadiran warga asing yang disyaki bekerja tanpa dokumen sah.
Seramai 30 pegawai penguat kuasa terlibat dalam operasi berkenaan dengan menjalankan pemeriksaan serta serbuan ke atas beberapa premis makanan dan minuman yang dikenal pasti.
Antara lokasi terlibat termasuk premis kedai makan di sekitar City Square, Jalan Pending yang disyaki menjalankan aktiviti tidak sah termasuk judi dalam talian.

Foto: Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak
Selain itu, sebuah premis makanan laut di Batu 8 turut diserbu bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.
Pemeriksaan rapi dilakukan ke atas pekerja di premis terbabit bagi mengenal pasti status dokumen perjalanan serta permit kerja masing-masing.
Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan warga asing yang ditahan dipercayai bekerja tanpa pas atau permit sah.
Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.
JIM Sarawak menegaskan komitmen untuk terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.