
LUBOK ANTU: Sebanyak 20 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, petang kelmarin.
Menurut kenyataan media IPD Lubok Antu, operasi tersebut dilaksanakan sebagai langkah berterusan dalam memastikan keselamatan awam serta membanteras aktiviti jenayah di kawasan berkenaan.
Operasi itu diketuai oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Inspektor Nelson Ensit, dengan penglibatan seramai 20 anggota daripada pelbagai pangkat dan elemen dalam IPD Lubok Antu.
Sepanjang operasi berlangsung, sebanyak 100 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya dan mengesan sebarang kesalahan.
Selain itu, seramai 120 individu turut diperiksa dalam usaha mengenal pasti individu mencurigakan serta mencegah kegiatan jenayah daripada berlaku.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesalahan lalu lintas yang dilakukan, sekali gus membawa kepada pengeluaran 20 saman oleh pihak polis terhadap pesalah terlibat.
Operasi bersepadu seperti ini turut memberi tumpuan kepada peningkatan kehadiran polis di kawasan awam bagi mewujudkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat setempat.
IPD Lubok Antu menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan operasi secara berkala sebagai langkah proaktif dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah itu sentiasa terjamin.
Oleh Adi Safarman