MARUDI: Seramai 20 peserta menyertai Kursus Dapur Sihat Keluarga anjuran Unit Pembangunan Komuniti, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Baram di Rumah Gawong Jantau, Sungai Selejau, Marudi, hari ini.
Majlis penangguhan rasmi program berkenaan disempurnakan oleh Pegawai KEMAS Daerah Marudi, Therry Noel George Anyi.
Menurut Therry, Kursus Dapur Sihat Keluarga merupakan inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemakanan sihat, penyediaan makanan yang bersih dan selamat serta amalan gaya hidup sihat dalam kalangan keluarga dan komuniti.

Katanya, kursus berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai penyediaan menu seimbang, teknik penyediaan makanan yang selamat serta pemilihan bahan makanan berkhasiat bagi membantu meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan keluarga.
Selain itu, beliau berkata kursus tersebut turut bertujuan memupuk budaya pemakanan sihat dalam institusi keluarga, di samping menggalakkan penglibatan komuniti menerusi aktiviti pendidikan, demonstrasi masakan dan perkongsian ilmu berkaitan kesihatan serta nutrisi.
Menurutnya, penglibatan ahli keluarga secara bersama dalam penyediaan makanan juga dapat memperkukuh hubungan kekeluargaan, selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

Tambah beliau, kursus berkenaan turut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan melalui pengambilan makanan yang bersih, selamat dan berkhasiat.
Katanya, usaha itu diharap dapat melahirkan komuniti yang lebih prihatin terhadap amalan pemakanan sihat serta mampu menjadi contoh kepada masyarakat setempat.
Turut hadir dan berucap pada majlis berkenaan ialah Penghulu Keir Sulang Ujai, Tuai Rumah Gawong Jantau dan Pemangku Pegawai Penerangan Marudi, Joseph Ting Ah Tai.
Oleh Jiku Jiguong



