KUCHING: Sebanyak 20 persatuan belia dan sekolah menerima sumbangan sebanyak RM200,000 daripada Program Belia Prihatin pada tahun 2021 yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Sarawak (MYSS).
Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program ini bertujuan untuk membantu dan memberi sumbangan kepada belia yang kurang bernasib baik yang turut melibatkan pihak sekolah berasrama.
“Program seumpama ini bukan sesuatu yang baharu kerana kita telah adakannya sejak tahun 2016 dan ia diadakan sebelum setiap perayaan bermula.
“Kita menyasarkan untuk membantu belia yang kurang berkemampuan, yatim piatu, belia istimewa (OKU) dan belia yang bersekolah di sekolah berasrama yang memerlukan terutamanya yang kurang mampu,” kata beliau dalam ucapannya di Ruang Galeri , tingkat 17 di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini semalam.
Beliau yang juga merupakan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan turut menerangkan tiga objektif utama program ini iaitu untuk menyemarakkan program pembangunan belia, meningkatkan kesedaran, kasih sayang serta rasa tanggungjawab golongan belia kepada masyarakat yang kurang bernasib baik dan menanam sikap kesukarelawan dalam kalangan belia dan persatuan belia.
“20 persatuan kebajikan dan sekolah ialah Pusat Jagaan Nur Murni, Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah, Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak, The Salvation Army Kuching Boy’s Home, PDK Samarahan, PDK Harmoni Asajaya, Sarawak Society for the Deaf, Sarawak Society for Blind, Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA).
“The Society for Kuching Urban Poor, Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah Kuching, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kuching SMK Asajaya, SMK Hajah Laila Taib, SMK Tun Haji Openg, SMK Agama Tun Ahmad Zaidi (TUNAZ), SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW), SMK Agama Matang 2, SMK Balai RIngin dan SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Normah,” jelasnya lagi.
MYSS turut menyumbangkan sedikit sumbangan seperti pelitup muka dan cecair sanitasi kepada lapan buah sekolah untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan.
Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya turut menzahirkan rasa gembira kerana inisiatif ini mempunyai makna besar dalam membudayakan semangat kesukarelawan dan keprihatinan di kalangan belia terutama ketika keadaan kritikal wabak Covid-19 ini.
“Kita mahu menerapkan peranan dan kesedaran belia dalam membantu memberi perubahan demi kebaikan untuk orang yang memerlukan di Sarawak.
“Kementerian saya akan mengadakan lebih banyak kolaborasi bersama jabatan, agensi dan persatuan di seluruh Sarawak pada masa akan datang,” maklum beliau.
Sebelum itu beliau juga mengalu-alukan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu memberi sumbangan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.
Beliau turut berpendapat bahawa belia berperanan penting dalam menjayakan agenda masyarakat bersepadu dan seimbang selaras dengan visi MYSS iaitu ‘Belia Berkelas Dunia dan Sukan untuk Semua Menjelang 2030’.
Karim turut tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada kaum cina yang merayakannya dan mengingatkan untuk patuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Turut hadir, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Agung SEBERKAS Negeri Sarawak, Safiee Ahmad, ADUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman, dan Pemangku Setiausaha Tetap MYSS, Nancy Jolhi.