
LAWAS: Seramai 20 penduduk dari Kampung Long Kachu, Tunas Baru dan Beriwen Tengah telah menerima bantuan input pertanian di bawah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Lawas.
Majlis penyerahan bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong di Pejabat Pertanian Daerah Lawas.
Bantuan yang disalurkan merangkumi baja, cangkul, biji benih, racun serangga, racun rumpai serta pelbagai alatan pertanian lain yang bertujuan untuk meningkatkan hasil pertanian komuniti terbabit.
Berucap dalam majlis itu, Henry Sum menyarankan para petani kecil di kampung-kampung agar memanfaatkan bantuan kerajaan itu bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil pertanian mereka.
Beliau turut menggesa para petani untuk memperluas skala pengeluaran pertanian masing-masing, daripada penghasilan kecil-kecilan kepada tahap yang lebih besar bagi menambah sumber pendapatan keluarga.
“Bidang pertanian sentiasa relevan sepanjang masa.
“Kita mahu melihat petani kecil di Lawas mampu meningkatkan hasil mereka dan seterusnya menjual produk pertanian secara langsung kepada pembeli,” katanya.
Tambahnya, keadaan infrastruktur jalan raya yang semakin baik di kawasan luar bandar membolehkan petani bergerak sendiri tanpa perlu terlalu bergantung kepada peraih.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penguasa Jabatan Pertanian Daerah Lawas Daroup Mail, Pegawai Jabatan Veterinar Daerah Lawas Robine Asut, serta beberapa pegawai kanan dari Jabatan Pertanian Daerah Lawas.
Oleh Adeng Edrus