
BINTANGOR: Sebanyak 20 pasukan telah menyertai Pertandingan Bola Sepak 7 Sebelah sempena Karnival Sukan Saberkas (KASUS) Meradong 2025.
Hadir bagi merasmikan pertandingan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Katanya, pertandingan tersebut merupakan platform penting untuk memupuk minat belia dan masyarakat terhadap sukan, khususnya bola sepak yang kekal sebagai sukan pilihan utama rakyat.
“Pertandingan seperti ini merupakan salah satu platform penting untuk memupuk minat belia dan masyarakat terhadap sukan, khususnya bola sepak yang telah lama menjadi sukan popular di kalangan rakyat kita.
“Penyertaan 20 pasukan dari Saratok, Julau, Pakan dan Meradong mencerminkan komitmen masyarakat terhadap pembangunan sukan di Daerah Meradong.
“Penyertaan yang begitu memberangsangkan ini jelas mencerminkan minat dan komitmen masyarakat terhadap pembangunan sukan di kawasan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan pertandingan tersebut bertempat di padang MDMJ, baru-baru ini.
Tambahnya, sokongan padu daripada semua pihak amat penting bagi memastikan kejayaan penganjuran pertandingan bola sepak.
“Pertandingan ini bertujuan menyatupadukan para belia dan masyarakat setempat serta menekankan nilai kerjasama, disiplin dan semangat setia kawan dalam kalangan peserta.
“Ia juga berperanan membangkitkan kembali semangat bola sepak di Meradong, selain membuka ruang kepada bakat baharu untuk diketengahkan,” katanya.
Selain itu, katanya, ia merupakan platform persaingan sihat yang menguji ketahanan fizikal, membentuk karakter, disiplin dan etika sukan dalam kalangan peserta.
Turut hadir Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, Kaunselar Khairuddin Qalam, Pengerusi Pengelola, Pastor Emmanuel dan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Sarikei, Abang Zaini Abg Ismail.
Oleh Earl Anek