
BINTULU: Sebanyak 20 unit mesin jet air disumbangkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi kawasan Jepak dan sekitarnya sebagai langkah memperkukuh kemudahan asas komuniti luar bandar.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pejabat Daerah Bintulu di sini, semalam.
Menurut Iskandar, pemberian peralatan itu merupakan salah satu inisiatif untuk membantu penduduk kampung melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan bersedia menghadapi sebarang kecemasan kecil seperti kebakaran.
“Mesin jet air ini boleh digunakan untuk membersihkan longkang, kawasan awam dan juga sebagai peralatan bantuan awal dalam situasi kecemasan sebelum pihak berkuasa tiba,” katanya.
Beliau menambah, sumbangan tersebut selaras dengan dasar kerajaan Sarawak yang menekankan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat luar bandar.
“Saya berharap ketua-ketua kaum dapat memanfaatkan peralatan ini sebaik mungkin demi kepentingan dan keselesaan penduduk kampung,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau menggesa agar setiap kampung yang menerima mesin jet air itu mewujudkan sistem penyelenggaraan secara berkala supaya peralatan tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa diperlukan.
“Aset kampung ini perlu dijaga dan digunakan secara berterusan, bukan hanya pada waktu tertentu,” tegas beliau.
Oleh Carolyne Utih