
Gambar edaran Pejabat Peguam Negara Mexico menunjukkan pakar forensik menjalankan siasatan di lokasi jenayah. - Foto AFP
CULIACAN: Mayat 20 individu, beberapa orang daripadanya dipenggal kepala, ditemui di sebuah jambatan lebuh raya di Mexico yang menyaksikan pertempuran antara kartel dadah Sinaloa, menurut pihak berkuasa.
Pejabat Pendakwa Negeri Sinaloa memaklumkan empat mayat tanpa kepala ditemukan di tepi jalan semalam, manakala 16 lagi mayat dijumpai dalam sebuah kenderaan yang ditinggalkan.
Sekurang-kurangnya lima kepala manusia turut ditemui di dalam sebuah beg di lokasi kejadian.
Kesemua mayat berkenaan menunjukkan kesan tembakan, kata pendakwa.
Media tempatan melaporkan empat mayat yang dipenggal kepala digantung terbalik dari jambatan, satu taktik lazim sebagai ‘mesej’ kumpulan jenayah, namun tiada pengesahan rasmi setakat ini.
Keganasan meningkat di negeri barat laut itu sejak penahanan pengasas bersama kartel, Ismael ‘El Mayo’ Zambada hampir setahun lalu.
Zambada berkata, dia kemudian dibawa menaiki pesawat persendirian ke Amerika Syarikat (AS) tanpa kerelaan, di mana El Chapo kini sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Pertelagahan itu, yang mengorbankan lebih 1,200 nyawa setakat ini menurut angka rasmi, menyaksikan pertempuran antara ahli kumpulan yang setia kepada El Chapo dan anak-anaknya dengan puak yang berpihak kepada Zambada.
Kartel berkenaan adalah satu daripada enam kumpulan pengedar dadah Mexico yang diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas oleh AS.
Keganasan jenayah, kebanyakannya berpunca daripada aktiviti pengedaran dadah, telah meragut kira-kira 480,000 nyawa di Mexico sejak 2006 serta menyebabkan lebih 120,000 orang hilang. – AFP