
KUCHING: Sebanyak 20 jambatan utama di seluruh Sarawak dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028, sekali gus melengkapkan rangkaian jalan dan infrastruktur utama negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata projek itu merupakan kesinambungan kepada pembinaan jalan utama, jambatan, dan Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dilaksanakan di seluruh negeri.
“Menjelang 2026 hingga 2028, semua jambatan termasuk 20 jambatan utama serta jambatan kecil dijangka siap sepenuhnya.
Apabila semuanya siap, tumpuan kita akan beralih kepada pelaksanaan projek pembangunan utama yang seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ulang tahun dan anugerah Gabungan Jurutera Perunding Bumitera Sarawak (GJPBS) 2025 di Dewan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor), semalam.
Abang Johari, berkata selepas fasa pembinaan jambatan dan jalan utama selesai, kerajaan negeri akan melaksanakan beberapa projek strategik lain termasuk pembinaan Lebuh Raya Pantai Utara (Northern Coastal Highway) yang bakal melibatkan pembinaan jambatan panjang, jejambat dan terowong bagi menyesuaikan bentuk muka bumi berbukit di kawasan utara Sarawak.
Menurut beliau, kesinambungan pelaksanaan projek infrastruktur itu akan meningkatkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor, termasuk kejuruteraan, seni bina dan pembinaan, sekali gus merancakkan ekonomi tempatan.
“Apa yang kita lakukan ialah menyuntik dana negeri ke dalam ekonomi tempatan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Ini dasar jangka panjang kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan terus memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau menegaskan, kedudukan kewangan Sarawak kekal kukuh dengan unjuran hasil yang stabil selepas 2030, membolehkan pelaksanaan projek infrastruktur besar diteruskan secara berperingkat bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat dan ekonomi negeri.
Oleh Sharul Qaizat