
SIMANGGANG: Sebanyak 20 lembu korban diperuntukkan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga termasuk untuk Masjid Besar Bahagian Sri Aman sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, agihan tersebut bertujuan memastikan lebih ramai masyarakat dapat bersama-sama merasai keberkatan dan kemeriahan Aidiladha.
Menurut beliau, Majlis Penyerahan Sumbangan Sapi Korban bagi kawasan Lingga telah berlangsung dengan lancar di Surau Wahdah Al Ummah, Kampung Tanah Baru Sembau, di sini, semalam.
Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha Cawangan PBB Lingga, Awang Najit Awang Sohor bagi mewakili ADUN Lingga.

Katanya, majlis berkenaan melibatkan beberapa wakil penerima dari kawasan Ladong dan Lemanak yang hadir bagi menerima sumbangan lembu korban untuk kawasan masing-masing.
Beliau berkata, program tersebut dilaksanakan sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat selain usaha memperkukuhkan semangat kebersamaan, perpaduan dan ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat.
Tambahnya, sambutan Aidiladha bukan sahaja membawa pengertian pengorbanan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti tanpa mengira latar belakang.
Dayang Noorazah turut berharap agihan sumbangan itu dapat membantu golongan yang memerlukan serta memberi peluang kepada lebih ramai penduduk untuk menyertai ibadah korban tahun ini.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak termasuk jawatankuasa, sukarelawan dan penduduk setempat yang hadir serta bersama-sama menjayakan majlis berkenaan.
Dayang Noorazah turut mendoakan agar segala usaha dan sumbangan yang diberikan mendapat keberkatan serta ganjaran yang baik di sisi Allah SWT, selain terus memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat di kawasan DUN Lingga.
Oleh Adi Safarman