
PETRA JAYA: Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Serembang telah mengadakan lawatan ke Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ketika berlangsungnya Persidangan DUN Ke-19 di sini, semalam.
Seramai 20 jawatankuasa ranting dan wanita terbabit kemudian berpeluang menyaksikan ucapan penggulungan daripada beberapa orang menteri yang mengambil bahagian pada Persidangan DUN Sarawak.
Selain itu, mereka turut berpeluang mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Sarawak sambil mempelajari protokol sesebuah sidang dijalankan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata program lawatan seperti ini pastinya ia akan memberikan pendedahan awal mengenai persidangan DUN Sarawak berkaitan fakta yang dibentangkan olen para menteri ketika Persidangan DUN berlangsung.
“Selain mendengar perbahasan, mereka juga dapat melihat bagaimana polisi digubal, isu rakyat dibangkitkan serta jawapan yang diberikan oleh menteri dan timbalan menteri yang bertanggungjawab,” tambahnya.
Pengerusi Ranting PBB Kampung Serembang, Jailani Miee menyifatkan peluang menyaksikan secara langsung persidangan DUN Sarawak sebagai satu pengalaman berharga terhadap proses demokrasi dan tadbir urus negeri.
“Terima kasih kepada YB Datuk Mohammad Razi Sitam atas peluang yang diberikan untuk melihat sendiri bagaimana DUN bersidang. Kami akan manfaatkan peluang ini untuk menimba sebanyak mungkin ilmu,” katanya.
Oleh Adi Safarman