
MOSCOW: Dua orang maut apabila sebuah kapal layar Mexico berlanggar dengan Jambatan Brooklyn di New York, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik laporan New York Post yang merujuk pihak berkuasa.
Menurut polis, kerosakan teknikal mungkin menjadi punca perlanggaran itu. Sementara itu, kapal berkenaan telah ditunda keluar dari lokasi kejadian, menurut wartawan RIA Novosti.
Presiden Mexico Claudia Sheinbaum menyampaikan ucapan takziah atas tragedi itu.
“Kami amat sedih dengan kematian dua kru kapal Escuela Cuauhtemoc yang menjadi mangsa kemalangan di pelabuhan New York. Kami ingin menyatakan solidariti dan sokongan kepada ahli keluarga mereka,” kata Sheinbaum di platform media sosial X.
Sheinbaum menambah bahawa wakil Tentera Laut Mexico dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan memberikan sokongan kepada mangsa yang cedera.
Kapal layar milik armada Mexico yang membawa lebih 200 orang melanggar Jambatan Brooklyn di New York pada waktu malam.
Menurut Datuk Bandar New York Eric Adams, sekurang-kurangnya 19 daripada 277 kru cedera dalam kejadian itu, dengan empat daripadanya cedera parah.
Pihak berkuasa bandar raya memaklumkan bahawa jambatan itu tidak mengalami kerosakan dalam perlanggaran berkenaan.
-Bernama-Sputnik/Ria Novosti