




KUCHING: Seramai 16 penduduk daripada empat keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan kejadian banjir yang melanda dua kampung di sekitar Siburan dan Jalan Kuching–Serian sejak malam malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO)Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, seramai 10 penduduk daripada tiga keluarga di Kampung Betong Kanowit, Jalan Kuching–Serian telah berpindah sendiri ke PPS Balai Raya Kampung Betong Kanowit selepas paras air banjir di kawasan berkenaan dianggarkan setinggi 0.6 meter (dua kaki).
Katanya, rondaan pemantauan di lokasi itu dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Siburan pada jam 10.45 malam tadi, dan mendapati trend paras air dilaporkan menurun walaupun hujan masih berterusan.
Sementara itu, enam penduduk daripada satu keluarga di Taman Duranda Emas, Siburan telah dipindahkan ke PPS Dewan Duranda setakat jam 1.41 pagi tadi apabila paras air di kawasan berkenaan terus meningkat.
“Pemindahan tersebut melibatkan dua wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki serta seorang lelaki dewasa orang kurang upaya (OKU),”katanya dalam kenyataan.
JBPM Sarawak memaklumkan pemantauan serta operasi pemindahan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjejas sepanjang tempoh Monsun Timur Laut.
Oleh Shahrul Qaizat