

BINTANGOR: Seramai 196 murid menerima bantuan pakaian seragam dan kasut sekolah 2026 dalam sesi penyerahan bantuan yang diadakan di sekitar kawasan Meradong, baru-baru ini.
Ia adalah sebagai persediaan awal para murid yang menghadapi sesi persekolahan baharu pada tahun depan.
Bantuan tersebut merupakan sumbangan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.
Penyerahan bantuan dilaksanakan menerusi lawatan pasukan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei ke sekolah terlibat bagi menyampaikan bantuan khas tersebut secara langsung kepada murid-murid.
Kesemua penerima bantuan merupakan murid Tahun 6 yang bakal melangkah ke alam persekolahan menengah, khususnya ke kelas peralihan dan Tingkatan 1 pada tahun hadapan.
Penerima bantuan adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Amin, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kai Chung, SK Bandar Bintangor, SJKC Ming Tee, SK Gemuan, SJKC Ming Lu, SJKC Ming Ching, SJKC Min Daik, SK Nanga Stras, SK Sungai Mador, SK Ulu Binatang, SK Ulu Stras, SK Bukit Nibong, SK Ulu Meradong dan SJKC Nan Chiew.
Tiong Sii berkata, bantuan pakaian seragam dan kasut sekolah itu diharap dapat membantu meringankan beban ibubapa serta memberi semangat kepada murid untuk melangkah ke peringkat pendidikan seterusnya dengan lebih yakin.
“Saya telah memberi bantuan ini sejak 2019 bagi menyediakan bantuan seperti pakaian sekolah dan kasut sekolah kepada murid dan pelajar di kawasan Repok.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan para murid di kawasan Parlimen Sarikei, khususnya menjelang peralihan ke peringkat sekolah menengah.
“Saya juga berharap sumbangan ini dapat memberi motivasi kepada para murid untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin dan selesa,” katanya ketika dihubungi media.
Beliau turut berharap agar bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan menjadi dorongan kepada murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.
Oleh Earl Anek