

BINTANGOR: Seramai 1,913 pelajar dari 23 sekolah rendah dan menengah di Daerah Meradong menerima manfaat bantuan persekolahan daripada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Beliau sentiasa mementingkan bidang pendidikan dan prihatin dengan keperluan para pelajar dalam memastikan kebajikan pendidikan generasi muda ini terus diberi perhatian.
“Bantuan ini memberi manfaat besar khususnya kepada ibu bapa berpendapatan rendah dan keluarga yang mempunyai tanggungan ramai.
“Penyerahan bantuan dilaksanakan menerusi program turun padang oleh pasukan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei yang diketuai oleh Wong Soon Mee ke sekolah terlibat bagi menyampaikan sumbangan secara terus kepada pelajar yang layak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, pendidikan merupakan aspek penting dalam menjamin masa depan yang lebih cerah kepada generasi muda serta menjadi asas kepada pembangunan masyarakat yang berdaya saing.
“Melalui bantuan ini, pelajar dapat mengikuti sesi pembelajaran dalam keadaan lebih selesa dan berkeyakinan.
“Bantuan yang disalurkan merangkumi pakaian seragam dan kasut sekolah sebagai usaha meringankan kos persediaan persekolahan yang perlu ditanggung ibu bapa setiap tahun,” katanya.
Antara sekolah menengah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tong Hua, SMK Kai Chung, SMK Bandar Bintangor dan SMK Meradong.
Selain itu, sekolah rendah yang turut menerima bantuan ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Chiang, SJKC Ming Tee, SJKC Nan Chiew, SJKC Kai Sing, SJKC Tung Kwong, SJKC Yong Kwong, SJKC Kung Cheng, SJKC Tong Hua, SJKC Yong Cheng, SJKC Nang Hua dan SJKC Ming Shing.
Turut menerima bantuan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Meradong, SK Bukit Nibong, SK Sungai Kawi, SK Sungai Selidap, SK Sungai Sian, SK Tanjung Bundung, SK Bukit Papit dan SK Tulai.
Tiong Sii berharap bantuan tersebut dapat membantu pelajar memulakan sesi persekolahan dengan lebih teratur dan bersemangat, sekali gus menyokong usaha melahirkan generasi berilmu yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri pada masa hadapan.
Oleh Earl Anek