BINTULU: Langkah drastik akan diambil oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan semua kawasan di negeri ini dilengkapi bekalan elektrik 24 jam menjelang 2025.
Menteri Utiliti, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, langkah tersebut dilakukan untuk memastikan kampung dan rumah panjang menikmati bekalan elektrik secepat mungkin.
“Menerusi Kementerian Utiliti, kita akan membantu memulihkan kesemua 19 ‘projek sakit’ di bawah Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Sarawak (RES) yang tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkara itu selepas merasmikan Community Extension Outreach Programme (CEOP) anjuran Jabatan Pertanian Bintulu di Rumah Joseph Rungkai, Jalan Maskat Labang di sini semalam.
Menurutnya, sebelum ini projek tersebut dianugerahkan oleh kerajaan Persekutuan kepada sebuah kontraktor bagi membekalkan elektrik ke kampung dan rumah panjang sejak 2017.
“Projek berkenaan tidak dapat diteruskan dan terpaksa dihentikan kerana syarikat terbabit berhadapan dengan masalah,” katanya.
“Kini projek tersebut diambil alih oleh Kerajaan Negeri melalui Sarawak Energy Berhad (SEB),” katanya.
Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Kemena memaklumkan empat daripada 19 projek sakit berkenaan adalah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena.
Katanya, pelaksanaan projek terbabit turut terkesan dan berhadapan sedikit kelewatan berikutan keadaan negara yang dilanda wabak Covid-19.
Dalam perkembangan sama, beliau menyeru penduduk supaya menceburi sektor pertanian moden untuk melonjak pendapatan diri dan keluarga.
Oleh Ellie Edward