
BETONG: Seramai 19 pemilik tanah yang terlibat dalam projek pembinaan jalan akses dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ajau, Rumah Gensurai hingga ke Rumah Panjang Skatap, Betong diberikan pampasan keseluruhan berjumlah RM341,722.80.
Timbalan Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu berkata tanah yang terlibat adalah Tanah Berhakmilik (13 lot), Tanah Gunasama Komunal Bumiputera (satu lot) dan Tanah Kerajaan (lima lot), keseluruhannya melibatkan 19 lot tanah.
“Projek jalan akses dari sekolah hingga ke beberapa rumah panjang seluas 4.084 hektar ini telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri pada 11 April 2023.
“Oleh itu, notis yang digunakan untuk mengambil balik tanah berkenaan ialah Notis Seksyen 48 dan 6(4) Kanun Tanah Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Penyerahan Cek Pampasan Jalan Akses dari SK Nanga Ajau, Rumah Panjang Gensurai ke Rumah Panjang Skatap bertempat di Hab Inovasi Digital Betong, hari ini.
Rentap yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar berkata kebaikan daripada projek ini kepada rakyat setempat adalah memudahkan pergerakan penduduk Rumah Panjang Skatap dan sekitar bergerak ke kawasan Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) dan Klinik Kesihatan Mid Layar.
“Ia bakal memudahkan urusan pentadbiran penduduk sekitar serta merancakkan lagi sosioekonomi sekitar kawasan Layar,” katanya.
Rentap berterima kasih kepada penduduk yang memahami serta menyedari hasrat murni kerajaan dan memberi kerjasama serta menyokong pelaksanaan projek ini demi kebaikan rakyat pada masa depan.
Oleh Adi Safarman