SIBU: Pelaksanaan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pembebasan Gas Rumah Hijau), 2023 merupakan asas strategi Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, Ordinan ini berkuat kuasa pada 1 Mac 2024.
Menurutnya, ia mewajibkan pelaporan pelepasan karbon yang ketat, penetapan ambang dan pengesahan pelepasan gas rumah hijau sambil menyokong peralihan kepada teknologi rendah karbon.
“Sehingga kini 19 entiti perniagaan telah berdaftar dengan NREB dan penyerahan laporan pelepasan sedang dijalankan,” katanya semasa berucap merasmikan majlis penutupan Stakeholder Engagement Program, petang semalam.
Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, Sarawak berdiri di barisan hadapan dalam peralihan tenaga, dengan inisiatif seperti tenaga hidro, projek solar dan perintis pembangunan hidrogen.
“Kami juga telah menetapkan matlamat yang bercita-cita tinggi untuk mencapai gabungan tenaga boleh diperbaharui 10 gigawatt menjelang 2030.
“Komitmen kami yang tidak berbelah bagi telah mendapat pengiktirafan global, dengan pujian antarabangsa untuk inisiatif kemampanan kami,” ujarnya.
Untuk menyokong inisiatif hijau, katanya, adalah penting semua aktiviti yang ditetapkan dan dimandatkan di bawah Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREO) menjalani Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang ketat dijalankan oleh perunding alam sekitar berdaftar bagi pihak penyokong projek.
“Peranan perunding alam sekitar adalah penting dalam melaksanakan EIA yang menyeluruh, menyediakan laporan terperinci dan mengesyorkan langkah mitigasi yang berkesan untuk mencegah dan mengurangkan kesan alam sekitar.
“Membangunkan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang komprehensif dan memastikan pematuhan ketat terhadap terma dan syarat EIA adalah penting untuk mencapai matlamat kemampanan kami,” ujarnya lagi.
Turut hadir, Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Jack Liam serta yang lain.
Oleh Akun Giman