
SARATOK: Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka telah menyumbangkan sebanyak 19 ekor lembu korban melibatkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM147,000 bagi menjayakan sambutan ibadah korban di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
ADUN Kalaka, Mohamad Duri berkata, sumbangan tersebut diagihkan kepada pelbagai jawatankuasa surau, masjid, kampung serta agensi di kawasan berkenaan sebagai usaha memperkukuh semangat kebersamaan dan kebajikan masyarakat.
Menurut beliau, antara penerima sumbangan lembu korban itu ialah Jawatankuasa Surau Darul Iman, Surau Darul Muafiqin, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu Roban serta Badan Amal Ibadah dan Kebajikan Islam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, sumbangan turut diberikan kepada Surau Balai Bomba, JKK Kampung Bunga Raya Hulu, JKKK Kampung Bunga Raya dan Surau Silatur Rahim.
Turut menerima sumbangan ialah Surau At-Taqwa Kampung Tanjung Tengah, Surau Cahaya Islam, Masjid Kampung Kaba serta JKK Kampung Pagan.
Sumbangan itu juga melibatkan JKKK Kampung Bunga Raya Hulu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok, Surau BOMBA, Kampung Kupang, Kampung Perpat dan Kampung Paloh.

Beliau berkata demikian semasa Program Ibadah Korban peringkat IPD Saratok yang berlangsung di Rumah Sri Krian IPD Saratok, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Duri memaklumkan bahawa program berkenaan bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim, malah turut membuka ruang perbincangan berkaitan keperluan pembangunan kemudahan untuk anggota keselamatan.
“Dalam kesempatan di Program Ibadah Korban IPD Saratok pagi ini, saya turut membincangkan beberapa perkara bersama Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie termasuklah pembinaan surau untuk IPD Saratok,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ibadah korban di seluruh kawasan DUN N.38 Kalaka pada tahun ini.
“Semoga apa yang kita laksanakan ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT serta terus memperkukuhkan perpaduan dan semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Oleh Adi Safarman