
SARIKEI: Seramai 189 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Paoh, terdiri daripada 149 murid dan 40 guru serta staf, menyertai ceramah dan demonstrasi keselamatan kebakaran pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik, berkata program yang bermula 8.30 pagi hingga 10.30 pagi tersebut diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Dingat Ngadi bersama sepasukan bomba dengan pengisian meliputi latihan kebakaran, ceramah keselamatan, kaedah melepaskan diri jika terperangkap, tatacara penggunaan alat pemadam api serta demonstrasi memadam kebakaran.
“Penganjuran program ini selaras dengan usaha pihak bomba meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan warga sekolah.
“Ia penting untuk memberi pendedahan awal, khususnya kepada murid, bagaimana bertindak jika berlaku kebakaran.


“Selain itu, ia dapat memupuk budaya keselamatan sejak kecil,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.
Katanya, pengetahuan asas keselamatan kebakaran mampu mengurangkan risiko panik dan memastikan tindakan lebih tersusun sekiranya berlaku kecemasan.
“Latihan turut menekankan aspek penggunaan alat pemadam api dengan betul kerana ia sering menjadi barisan pertahanan awal ketika kebakaran kecil.
“Kesedaran bukan sahaja penting kepada murid, malah kepada guru dan staf sekolah kerana mereka adalah individu terawal yang akan bertindak menyelamatkan nyawa sebelum pasukan bomba tiba,” katanya.
Tambahnya, program ini juga memberi peluang kepada murid untuk berinteraksi secara praktikal dengan anggota bomba bagi memahami kepentingan mematuhi prosedur keselamatan.
Arrahman turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah kerana memberi kerjasama penuh dalam menjayakan program berkenaan.
Beliau berharap pendedahan itu dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga sekolah sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat.
Oleh Earl Anek