KUCHING: Kementerian Pendididikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi serta Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak akan mengadakan lawatan ke-188 sekolah di seluruh negeri bagi memeriksa persediaan sekolah sebelum dibuka semula 24 Jun ini.
Menterinya, Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata pegawai tersebut termasuk dari Pejabat Pendidikan Daerah akan membuat lawatan selama seminggu.
“Mereka akan melawat 188 sekolah yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi memastikan sekolah bersedia untuk dibuka bagi pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam atas,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Sarawak menyambut baik dan menyokong 100 peratus usaha daripada Kementerian Pendidikan bagi menjayakan pembukaan semula sekolah pada 24 Jun ini.
“Namun, kita akui tetap ada banyak cabaran yang kita perlu atasi sebelum pembukaan sekolah ini. Pertama, adakah kelas mencukupi kerana hanya maksimum 20 pelajar dibenarkan dalam kelas, dan kedua bagi sekolah berasrama, kebanyakan sekolah menggunakan katil bertingkat dan garis panduan pula mengarahkan jarak sosial katil iaitu 1 meter,” ujarnya dalam sidang media di Bangunan Baitulmakmur, semalam.
Beliau menambah disebalik cabaran tersebut, pihaknya akan memastikan usaha pembukaan sekolah akan dilaksanakan dengan berjaya di negeri ini.
“Selain itu, kita juga mempunyai cabaran dari segi kepulangan guru-guru dari semenanjung Malaysia ke Sarawak.
“Kita mempunyai 1716 guru daripada 2664 guru dari semenanjung yang masih belum pulang ke Sarawak dan mereka dikehendaki melapor diri pada 9 Jun lalu , namun hal ini adalah mustahil.
“Kita telah memohon bantuan daripada pihak Sarawak Volunteer melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk membantu mereka dalam urusan tempahan tiket penerbangan.
“Dan saya percaya mereka akan kembali ke Sarawak sebelum 24 Jun ini setelah pengumuman JPBN yang membenarkan kapasiti penuh bagi penerbangan ke Sarawak,” katanya.
Manyin menambah guru-guru ini apabila tiba ke Sarawak akan menjalani kuarantin diri sendiri di rumah bagi guru-guru yang mengajar di bandar manakala kuarantin di hotel bagi guru-guru luar bandar selama 14 hari.
“Oleh itu, kita berharap ibu bapa tidak gusar kerana guru yang akan mengajar adalah akan dipastikan bebas dari Covid-19 sebelum ke sekolah,” jelasnya.
Beliau turut berkata ada beberapa sekolah mungkin tidak akan memulakan persekolahan pada 24 Jun akibat kekurangan guru, namun bagi yang mencukupi mereka akan memulakannya pada tarikh tersebut.
“Kita akan membantu sepenuhnya sekolah-sekolah ini bermula Isnin ini dan jadual bagi agihan untuk melawat sekolah telah dibuat ,” katanya.
Oleh Alexandra Lorna