
BINTANGOR: Seramai 185 peserta terdiri daripada pelajar, guru dan kakitangan sekolah telah mengambil bahagian dalam program kesedaran awam yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong, baru-baru ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin Mahmudin Narudin, berkata program yang bermula pada 11.00 malam itu memberi tumpuan kepada latihan kebakaran dan prosedur pengungsian bangunan.
Menurut beliau, latihan ini bertujuan memastikan warga sekolah sentiasa bersedia dan tahu bertindak secara betul sekiranya berlaku kecemasan sebenar.
“Pengisian program turut melibatkan sesi postmortem tindakan dan penilaian tatacara latihan kebakaran dan pengungsian bangunan yang dijalankan, sekali gus memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta.
“Program ini penting kerana ia mendidik warga sekolah untuk memahami langkah keselamatan dengan lebih sistematik dan tersusun.
“Latihan kebakaran ini amat berguna untuk memastikan guru, pelajar dan kakitangan sekolah dapat bergerak secara teratur serta selamat ketika menghadapi situasi sebenar,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Tambahnya, latihan seperti ini dapat membentuk budaya keselamatan di sekolah selain meningkatkan kesedaran terhadap bahaya kebakaran.
“Sesi postmortem yang dilaksanakan selepas latihan membolehkan kelemahan dikenal pasti, seterusnya memperbaiki kaedah pengungsian pada masa akan datang.
“Kami komited untuk terus bekerjasama dengan sekolah-sekolah di daerah ini agar program seumpama ini dapat dijalankan secara berkala demi keselamatan semua pihak,” katanya.
Mahmudin turut menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran SMK Meradong kerana memberi kerjasama penuh, sekali gus menjayakan program yang memberi manfaat besar kepada warga sekolah.
Oleh Earl Anek